'Saya Ditampar, Ditarik Rambut Oleh Kakak Ipar & Mertua Perhatikan Saja'

Saya baru bercerai dengan suami dua minggu sebelum bulan ramadhan. Saya redha jika sudah tertulis jodoh kami hanya setakat itu sahaja. Bukan niat nak mengaibkan, namun diharap apa yang saya ingin tulis dapat dijadikan iktibar buat diri saya dan orang lain. 

Saya berkahwin dengan suami tiga tahun lalu di mana ketika itu kami berdua sudah mempunyai kerja yang stabil. Suami bekerja sebagai guru di sekolah rendah dan saya di sebuah syarikat swasta. Pendapatan saya lebih tinggi daripada suami tetapi suami tetap memberi duit belanja kepada saya. 

Jujur saya kata, bekas suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Bila saya cakap bertanggungjawab, bekas suami memang melebihkan keluarganya sendiri. Pada mulanya saya sangat bersyukur sebab bekas suami tidak lupa tanggungjawab kepada ibu dan keluarganya. Namun semuanya berubah selepas saya kenal sendiri bagaimana perangai mereka.

Begini. Pada mulanya selepas kami berkahwin, bekas suami mengajak saya tinggal di rumah keluarganya atas desakan ibunya. Bekas suami merupakan anak kedua dari empat adik beradik. Kakaknya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang juga tinggal bersama ibunya. Manakala dua adik beradiknya, seorang di kolej dan seorang lagi masih bersekolah. Walaupun keberatan, namun saya ikutkan juga dan berfikir ada baiknya boleh mengeratkan hubungan dengan ibu mertua. 

Bermulalah satu-satu perkara berbangkit. Pertama, sejak kami masuk di situ, ibu mertua, kakak ipar dan abang ipar mula lepas tangan dalam soal belanja rumah. Pada mulanya saya tidak kisah sebab gaji saya dan suami mencukupi untuk menanggung belanja rumah mertua seperti barang basah, duit belanja dapur, bil elektrik dan air. 

Mereka juga meminta dipasangkan WiFI dan Astro di rumah yang sebelum ini tiada. Kami berpakat memperuntukkan RM1,000 untuk kesemua itu. Kami juga yang mananggung adik-beradik suami yang masih belajar. Namun, lumrah manusia tidak menghargai malah tamak. 

Konflik pertama berlaku apabila kakak ipar dan suaminya mula mengharapkan saya dan suami soal membiaya anak-anak mereka yang berusia 9 dan 12 tahun. Kakak ipar tidak bekerja, suaminya pula sangat malas bekerja. 

Bekas suami pernah beritahu yang abang ipar kerap bertukar kerja, sama ada dibuang kerja kerana selalu ponteng dan tidur di rumah. Sekarang, suami kakak ipar mengambil upah menolong rakannya menjaga gerai pasar malam. 

Isunya, mungkin bagi mereka kami bergaji tinggi jadi tidak salah meminta pertolongan. Saya pun pada mulanya kasihan memikirkan kesusahan mereka. Namun makin lama makin naik lemak, sampaikan suami  kakak ipar mula meminta duit setiap minggu daripada kami termasuklah duit rokok. duit minyak, duit topup dan pernah meminta dibeli telefon baru. 

Suami mula tidak gemar dan pernah menegur abang iparnya. Namun dimarahi oleh kakaknya dan menuduhnya kedekut. Ibu mertua juga mula berkata suami saya sudah mula berkira dengan adik beradik dan pernah menuduh saya yang menghasut suami. 

Demi Tuhan saya tidak pernah melarang suami menolong adik beradiknya. Namun saya perasan kakak ipar dan suaminya gemar mengambil kesempatan. Sudahlah menumpang di rumah ibu, satu sen pun tak keluar untuk apa-apa sejak kami berpindah masuk. Sebelum ini ibu mertua hanya mengharapkan duit pencen arwah suami sahaja. 

Kemuncaknya apabila mereka mengajar anak-anak kecil meminta duit daripada saya. Saya akan berikan namun semakin lama anak-anak mereka juga berharap pada saya untuk duit sekolah mereka, duit tuisyen, buku, yuran, baju sekolah dan segalanya. 

Pernah satu hari, anak mereka yang darjah 6 pulang dari sekolah dan memberitahu sekolah akan membuat lawatan ke Langkawi dan memerlukan bayaran RM120 untuk menyertainya. 

"Mintak dengan cik ngah. Mintak RM500 sekali duit belanja dan mak nak pesan barang juga alang-alang nak pergi sana," kata ibunya. 

Saya yang mendengar di dapur mula rasa menyirap. Kerana menuruti arahan ibunya, lalu anaknya datang kepada saya.

"Cikngah, nak RM500. Esok ada alawatan," katanya terus berlalu pergi. 

Suami saya ada pada masa itu, lalu dia menegur kakak dan abang iparnya. 

"Anak akak nak pergi ke mana-mana, akak dengan abang yang kena bertanggungjawab. Jangan mengharap pada orang," kata suami. 

Kakak ipar terus menarik muka. Balik saja suaminya dari kerja, dia terus mengadu. Lalu bertekaklah mereka dan kami dituduh terlalu berkira. Saya tak mahu suami saya bergaduh, jadi saya berikan juga RM500 kepada anak buah saya ini. 

Sebenarnya ada banyak lagi perkara tetapi terlalu panjang. Ibu mertua saya juga sangat suka dibelikan macam-macam. Saya tidak pernah menghalang suami berbelanja untuk ibunya. Namun mertua tidak pernah puas. 

Pernah sekali saya belikan beg tangan untuk diri saya dengan duit saya sendiri. Bila mertua nampak, dia cakap dengan suami kenapa belikan untuk saya tetapi tidak untuk dia. Suami terangkan kepadanya yang saya beli dengan duit saya sendiri. Mertua terus marah dan kata saya membazir. 

"Daripada beli beg mahal-mahal tu, baik bagi pada mak untuk beli barang rumah," katanya.

Pulak? Sedangkan apa yang kami beri adalah lebih daripada cukup. Paling saya marah, syarikat saya beri bonus dalam bentuk percutian atas prestasi kerja beberapa bulan lepas atas tender yang berjaya. Percutian 4 orang ke Korea. Jadi saya buat keputusan untuk membawa suami, ibu saya dan saya. Bila mertua dapat tahu, dia sangat marah sebab tak bawa dua sekali (mertua suka tengok drama Korea). Marah yang melampau sampai cakap saya menantu tak sedar diri, berkira dengan dia, pergi bercuti tak ingat mak dan bermacam-macam lagi. 

Ditambah lagi dengan kakak ipar yang batu api turut tidak berpuas hati dengan kami. Tetapi masa itus aya sudah tawar hati dengan ibu mertua dan kakak ipar, saya terus pergi bercuti dua minggu dengan suami, ibu dan adik saya. Tetapi bila balik. saya tetap belikan macam-macam buah tangan untuk mereka. Namun mereka masih memerli saya dan cakap macam-macam di belakang saya. 

Kemuncak semua perkara ini adalah perangai kakak ipar dan suaminya. Mereka ada sebuah motosikal sahaja untuk urusan transport. Itu pun sebenarnya ihsan dari arwah ayah mertua. Digunakan suami kakak ipar untuk pergi kerja. Saya dan suami mempunyai tiga kereta, satu milik suami dan duam ilik saya. Saya beli Viva terpakai semasa menuntut di UIA dengan menggunakan duit hasil kerja part ime dan sebahagian duit biasiswa untuk memudahkan saya ketika itu.

Tahun kedua bekerja, saya beli kereta baru yang lebih selesa, Saya bercadang memberikan Viva itu kepada adik perempuan saya yang berusia 18 tahun selepas dia berjya mendapatkan lesen memandu dan masuk universiti. Kakak ipar dan suaminya memang selalu meminjam kereta Viva itu untuk mereka anak beranak dan saya tidak kisah pun. Cuma lama kelamaan mereka buat Viva itu seolah-olah harta mereka sendiri. 

Road tax dan minyak masih juga berharap pada saya untuk bayar. Kakak ipar suruh ibu mertua cakap pada saya agar memberikan kereta itu kepada mereka. Ibu mertua juga menyuruh saya berbuat demikian tetapi saya menolak kerana saya sudah berjanji untuk memberikannya kepada adik perempuan saya. Ibu mertua dan kakak ipar cakap saya tidak mahu menolong sesama ipar. Bagi saya, kalau nak, berusahalah. Jangan mengharapkan semua benda boleh didapatkan percuma. Lainlah mereka cakap mereka nak beli dari saya. Bukanlah saya kedekut tetapi hasil penat saya ikat perut zaman universiti untuk beli kereta itu untuk memudahkan saya bergerak. Saya tidak mahu adik saya rasa susah macam saya sebab itu saya berjanji nak berikan kepada dia. 

Kemuncaknya saya dah beritahu mereka saya akan balik ke rumah dan bawa kereta Viva untuk kepada adik saya. Mereka cuma diam, jadi saya rasa tiada masalah. Saya nak balik pada hari Jumaat, pada hari Rabu itu bila saya balik kerja, saya tengok kereta VIva sudah tiada. Saya assumed kakak ipar dan suaminya pinjam untuk pergi ke mana-mana. Saya tak kisah. 

Esok pagi nak pergi kerja, kereta itu masih tiada. Saya dah mula rasa tak sedap hati. Balik kerja itu, saya tengok masih tiada. Saya tanya ibu mertua, mana kakak ipar dan suaminya? Pinjam kereta ke? 

"Oh, diorang dah balik kampung abang kau di Kelantan. Tak tahu balik bila. Kau pun bagi sajalah kereta itu pada mereka. Kasihan mereka tak ada kereta. Jangan berkira sangat. Kau banyak duit, tak berkat hidup kau kalau kedekut," selamba ibu mertua kata begitu. 

Darah saya menyirap dan masa itulah saya terlalu marah. Rasa saya dipergunakan jadi saya marah ibu mertua dan kami berperang besar. 

"Mak ambil kesempatan! Rumah ini pakai duit saya dengan nak membela anak-beranak kakak ipar dan abang ipar yang macam biawak hidup!" 

Saya terus ditampar ibu mertua. Saya sudah tidak tahan lalu saya mengemaskan barang saya, cabut semua WiFI, panel Astro. Bukan saya berkira namun saya sudah tak tahan. 

Masa bercuti ke Korea tempoh hari pun ibu mertua perli ibu saya kolot, buat malu saja bawa pergi ke luar negara, selekeh dan macam-macam. Namun saya sabar. Kali ini mereka sudah melampau sangat sampai bawa lari kereta saya yang telah saya janji nak berikan kepada adik. 

Saya call kakak ipar banyak kali namun tidak dijawab. Mesej berpuluh-puluh kali juga tidak dibalas. WhatsApp bagai, hanya seen sahaja. Akhirnya saya mesej, kalau mereka tak hantar balik kereta saya, saya akan buat laporan polis bahawa mereka mencuri kereta saya. Terus kakak ipar call dan marah. Dia kata mereka hanya pinjam sahaja dan macam-macam. Tetapi saya dah sakit hati sangat dengan keluarga suami saya. 

Masa kejadian itu, suami saya tiada, dia pergi mengikut lawatan sekolah selama 3 hari sebagai guru pengiring. Sebab itu mertua dan kakaknya berani. Esoknya kakak ipar dan suaminya pulang dan kakak ipar menyerang saya. Saya ditampar, ditarik dengan suaminya berkata,

"Bagus, bagi saja penampar dan penyepak betina macam ini," 

Mertua pun tidak meleraikan. Hanya melihat saja saya diperlakukan seperti itu. Mujurlah masa itu suami saya sempat balik dan bila tengok keadaan seperti itu, dia dah naik gila dan menarik kakaknya. Dia juga bertumbuk dengan abang iparnya. Mertua pegang suami dan cakap saya punca semua dan bermacam-macam fitnah keluar seolah-olah sayalah yang paling jahat, berkira dan semuanya.

Suami tarik saya masuk bilik dan masa itu suami cakap dia ikut saya pindah. Saya pada masa itu sudah tawar hati dengan semua perkara. Selepas dua minggu, saya fikir masak-masak di apartment baru saya. Saya call suami dan meminta dia melepaskan saya dengan cara baik sebab saya tidak mahu ada kaitan dengan mertua, kakak ipar dan suaminya lagi. Saya sudah tidak sanggup menghadap orang seperti mereka. 

Suami memujuk. Namun dia terpaksa melepaskan saya juga. Kami bercerai secara baik tanpa anak. Bekas suami pindah keluar dari rumah ibunya selepas kejadian itu. Dia menyewa di tempat berdekatan dengan sekolahnya. Saya pun sudah ada apartment (sewa beli) sendiri dan sedang cuba membina hidup baru. Tolong doakan saya semua. Semoga saya kuat. 

Pesanan saya, sebelum kahwin, selidiklah keadaan keluarga bakal pasangan kita. Berkenalanlah juga dengan adik beradik mereka, ambil tahu latar belakang mereka sedikit. Salam ramadhan semua

'Saya Ditampar, Ditarik Rambut Oleh Kakak Ipar & Mertua Perhatikan Saja' 'Saya Ditampar, Ditarik Rambut Oleh Kakak Ipar & Mertua Perhatikan Saja' Reviewed by Viral on 13:58:00 Rating: 5

No comments:

Propellerads
Powered by Blogger.